Chicken Chop dalam kenangan....
SLOT 1
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah memilih sekolahku untuk menyertai pertandingan Karnival Pendidikan Khas dan Kesenian Peringkat Negeri Johor di Jementah, Segamat. Disebabkan aku guru kemahiran masakan, maka aku diamanahkan membimbing dan mengelolakan sebelum dan semasa pertandingan. Bila dicabut undi, sekolah aku perlu menghidangkan chicken chop dan gubahan tembikai di hari pertandingan. Aku tergaru-garu kepala yang tidak gatal, apabila membaca surat dari PPD, mana tidaknya, aku pandai makan chicken chop sahaja, mana pandai buat, lepas itu, nak ajar anak murid pula, uwaaaa!!!.
Nasib baiklah, ada seorang guru menawarkan anak saudaranya untuk mengajar anak muridku yang kacak dan cantik molek ini. Selepas mendapat tunjuk ajar dari bekas pelajar YPJ dalam bidang Seni Kulinari, hari-hari aku melatih anak muridku. Hari -hari juga aku membeli barang2 dan ayam di pasaraya dan pasar borong. Penatnya ya Allah, lepas pulang dari sekolah sahaja, aku terus ke pasaraya di bandar, jaraknya dari sekolah mengambil masa 30 minit juga. Ada sebahagian barang yang tiada di pasaraya, menyebabkan aku ke hulur ke hilir sehingga larut malam. Emak dan suamiku pun sudah mula berbunyi kerana ke hulu ke hilir sehingga larut malam. Tapi, aku pekakkan telinga sahaja, sebab ini adalah tanggungjawab aku. Lagi sadis, sekolah tidak boleh mengeluarkan wang segera, hanya boleh di bayar semula apabila tuntutan dan bukti dari resit-resit pembelian. Semuanya menggunakan duitku sendiri. Baruku tahu, betapa mahalnya harga barang di pasaraya. Kalau hendak murah, kenalah berbelanja di pasar borong, tetapi, pada waktu pagi. Aduh!! mana sempat nak belanja pagi-pagi, aku perlu ke sekolah lebih awal sebelum pukul 7.
Gambar diatas ini adalah 2 orang bekas pelajar YPJ yang mempunyai sijil Seni Kulinari. Kacak, macho dan pandai masak macam-macam makanan. Gubahan pun macam-macam boleh buat. Bertuah bakal isterinya. hehehehehe....kalau dua orang budak ni terbaca blog aku, kembanglah dia kena puji. Mereka juga menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kedai makan yang turut menyediakan chicken chop berharga RM5 sahaja.
Bila dikira jumlah dalam resit perbelanjaan semuanya ialah RM500. Itu pun tidak termasuk duit ayam dan barang-barang kecil. Duit minyak kereta ke sana ke mari memang aku tutup mata sahajalah. Kopak duit aku wei!!.Nak dapat claim lambat pula tu. Ada juga sebahagian guru-guru yang membantu aku, baiki resepi sos chicken chop dengan mengubah citarasa sendiri. Banyak kali test tau!!. Kejap letak itu ini. Sebab nak bagi rasa sos tu lagi power!!!.
Ini adalah gambar gubahan yang diajar oleh mereka berdua. , Yang kanan tu, mestilah budak YPJ tu buat, yang kiri tu, hasil ukiran anak muridku.
Pergh!! selama 2 minggu latihan dan 2 minggu juga aku tidak mengajar sebab latihan ini mula dari pagi sehingga jam 1 tengahari. Penat juga melatih anak murid aku ni, mana taknya, satu-satu kena cakap, baru nak buat. Hmmm, macam nilah budak pendidikan khaskan, sabar sahajalah.
Ini gambar semasa aku dan kawan makan di restoran Wild Mill.Kami makan ni sebab nak tengok dan mengkaji sedikit untuk membaiki resepi kami.hahaha, orang di restoran perhatikan sahaja perbuatan kami, sebab belek ayam tu, sampai ayam tu pun malu.wakakaka..
SLOT 2
Proses membuat chicken chop :
Resepi untuk seketul ayam.
Bahan 1
- Ayam yang dipotong dan dibuang tulang
- Telur 1 biji
- Serbuk Roti
# Gaulkan ayam, telur dan serbuk roti. Kemudian goreng.
Bahan 2
- Bawang putih 3 ulas
- Bawang besar 1 biji
- Sos Lada Hitam
- Susu cair
- Air rebusan tulang ayam
- garam sedikit
- Minyak zaitun sedikit
- Marjerin 1 sudu
# Tumis bawang-bawang yang telah dikisar dengan minyak zaitun sehingga naik bau,gunakan api kecil sahaja, letak sedikit garam, sos lada hitam, susu cair, marjerin dan air rebusan mengikut citarasa.
Hiaskan dengan kreativiti masing-masing seperti kentang goreng, coslaw dan sayur-sayuran. Tadaaaa!!! siap pun. Cepatlah hias-hias.hehehe.
SLOT 3
Bila tibanya hari pertandingan, akulah yang memandu kereta kawanku sebab dia tidak biasa memandu jauh. Aku nak bawa kereta aku, ada masalah pula pada enjin. Naya je kang. Aku berdua dihadapan dan 2 orang muridku duduk di bahagian belakang. Aku follow kereta Pegawai PPD sebab aku tak tahu jalan ke sana. Mula2 aku rancang hendak bertolak selepas subuh, tetapi, disebabkan peg PPD hendak bertolak jam 8, maka, aku ikut sahajalah. Sebenarnya, dalam hati ni risau juga, sebab pertandingan bermula pkl 10 pagi. Aku tidak gemar, kelam kabut, aku lebih suka pergi awal dan santai-santai sahaja, tetapi, aku akur, bahawasanya, aku seorang wanita yang lemah, aku tidak sepatutnya memandu sendiri sebab jalan ke Jementah itu, sunyi dan banyak selekoh seperti di Genting Highland.
Perjalanan mengambil masa 2 jam. Aku follow kereta jabatan sehingga tiba di satu lampu isyarat, aku terlepas kereta jabatan, aku cuba kejar, tetapi, lori yang besar-besar menghalang pandanganku. Aku teruskan juga perjalanan dengan hati yang gundah-gulana. Aku rasa macam sudah jauh perjalananku ini, kawanku cuba menelefon peg PPD, memang benar tekaanku, aku sudah jauh terlajak sehingga ke UITM, aku berpatah balik, jam sudah pun menunjukkan jam 9.50 pg. Hatiku semakin resah, rasa nak menangis pun ada, aku berhenti di tepi jalan dan tarik nafas dalam-dalam untuk tenangkan hati. Di dalam hati, aku berdoa : Ya Allah, bantulah hambaMu yang lemah ini, aku sudah tersesat jalan.
Jam menunjukkan pukul 9.55 pagi, aku berserah kepadaMu tuhan, tiba-tiba, ada sebuah bas Pendidikan Khas Johor Bahru lalu dikawasan itu, maka, aku pun segera mengikutinya dari belakang. Alhamdulillah, terima kasih dengan bantuan Allah. Sampai disana, kami keluarkan barang-barang yang banyak sepenuh bonet tu. Allah!! kena turun tangga dan jauh pula tu. Rupa-rupanya pertandingan sudah bermula, hanya muridku sahaja, yang belum bersedia. Maka, kelam kabut aku mengeluarkan barang dari kotak. Kemudian, aku dihalau oleh penyelia kerana guru tidak boleh membantu sedikit pun ketika pertandingan sudah bermula. Kesian anak muridku, dia terpaksa mengeluarkan barang-barang sendirian, sedangkan orang lain sudah mula menghiris bawang dan memasak.
Aku dan kawanku hanya mampu melihat dari jauh. Perutku sudah berbunyi-bunyi, tetapi, aku tidak boleh meninggalkan anak muridku keseorangan. Aku perlu memberi sokongan walaupun dengan hanya melihat. Aku lihat, anak muridku seperti kebingunggan, mungkin keadaan yang kelam kabut menyebabkan dia seperti tidak pandai buat apa-apa. Sudah 2 minggu berlatih, tidak mungkin dia tidak boleh buat apa-apa. Kami terpaksa menjerit, suruh cepat!! masa semakin hampir tamat. Peserta lain, sudah siap menghidang, muridku pula masih membuat air. Allah!!!, aku dan kawan hanya mampu merenung di antara satu sama lain. Berserah ajelah wei!!!.
Masa sudah tamat, anak muridku terkial-kial menghias pinggannya. Ketika hakim menghampiri dan menjamah chicken chop muridku, hatiku berdebar-debar, aku terdengar kata-katanya, sos dia sedap!!.Ayam pun garing dan rangup. Tapi, hiasannya yang kurang.Hmm, apakan daya, redha jelah kan. Aku lihat, peserta-peserta lain sangat hebat persembahannya. Sememangnya, aku tahu, keputusan memang tidak menyebelahi muridku. Begitu juga dengan gubahan, dapat tempat yang ke empat sahaja. Kami pulang sebelum majlis penutup, kerana hati sudah kecewa. Kepalaku sudah pening kerana sudah masuk angin. Sampai di rumah je, aku sudah terbongkang kepenatan. Kakiku mula rasa kebas dan lenguh.
Sekembalinya ke sekolah, pelbagai soalan dari guru-guru. Aku hanya mendiamkan diri, hanya kawanku sahaja yang menjawabnya. Tiba-tiba, ada seorang guru berkata, Isma!! Chicken Chop ko sedaplah. Hari tu, aku rasa sedikit, apa kata, engkau ambil tempahan dari guru-guru, bolehlah kau masukkan projek chicken chop ni dalam pnp kau. Aku masih tiada jawapan, kerana kepenatan dan kelelahan masih terasa.
Tiba-tiba ramai pula guru-guru yang membuat tempahan chicken chop, aku hanya berani ambil 10 tempahan, tetapi, permintaan tinggi, maka, aku naikkan sehingga 20 sahaja. Aku sudah mula bersemangat dan meneruskan aktiviti ini setiap hari ahad dan rabu. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan sehingga aku terpaksa menghadkan tempahan, kerana masa yang sangat terhad. Terima Kasih Allah !!!, walaupun muridku kalah di dalam pertandingan, tetapi, hakikatnya, ada hikmah yang paling baik dari kemenangan peringkat negeri. Kekalahan bukan bermakna gagal, tetapi, kekalahan adalah permulaan ke tangga kejayaan.
Dek kerana penangan chicken chop, bila guru-guru terserempak denganku sahaja, pasti mereka menyebut chicken chop, sehinggakan ada ibu mengandung yang mengidam nak makan chicken chop muridku. Segala-galanya tinggal kenangan, aku ambil pengajaran dari apa yang berlaku, sememangnya, kita hanya merancang dan Allah yang menentukan. Banyak ilmu yang aku perolehi dari penangan chicken chop ini, aku juga belajar erti keikhlasan, kesabaran, kerjasama dan kecekalan. Sememangnya, menjadi seorang guru perlu ada pengorbanan, walaupun kadang-kadang pengorbanan kita tidak dibayar dan dihargai manusia, tetapi, yang penting, hati kita rasa bahagia dan seronok memberi manfaat kepada orang lain. Seperti kata Prof Dr Muhaya : Banyakkan memberi dari meminta, sekiranya kita banyak memberi, kita juga akan banyak menerima. Ramai guru-guru berasa sedih dengan berita perpindahanku ke sekolah lain. Mereka kata, ala...tak adalah chicken chop lagi, tetapi, aku nyatakan, projek ini akan berterusan di sekolah ini, cuma dikendalikan oleh guru lain. Semoga Unit Pendidikan Khas di SMK ini berjaya mewujudkan projek yang lebih baik untuk membantu murid pendidikan khas supaya dapat manfaatkan ilmu di luar sana. . Amin...
Ulasan
Catat Ulasan