cikgu kencing je kat tepi parit tu ....
Pertama kali, aku mengikut program marhaban ke rumah murid-murid. Tujuannya ialah melihat keadaan keluarga mereka dan mengeratkan silaturrahim. Aku teruja dengan program ini. aku diamanahkan untuk mencari doa-doa dan selawat marhaban. Semua guru membawa anak-anak murid dengan kereta masing-masing. Inilah kali pertama aku masuk ke kawasan kampung ini. Rasa damai dan tenang melihat pokok-pokok hijau dan rumah-rumah yang bersih dan cantik. jauh juga rumah anak-anak murid aku, masuk ke dalam hujung kampung. Aku rasa sebak tiba-tiba melihat kedhaifan rumah mereka. Aku tidak menyangka, begini rupanya kehidupan mereka.
Tiba di satu rumah, tiba-tiba aku rasa nak qada' hajat. Argh!!! kacau betullah, minum banyak sangat arr ni. Aku pun meminta izin dengan tuan rumah untuk tumpang qada' hajat. Makcik tu seperti kegelisahan, tetapi dia tetap mengajak aku ke dapur. Aku lihat ada beberapa orang perempuan dan seorang lelaki di dapur. Dapurnya sangat kecil dan dhaif, aku lihat dapur itu seperti dapur arwah nenek aku dulu. "Ha, cikgu kencing je kat tepi parit tu, nanti saya tutup pintu " kata makcik tu, Aku pun lihat di sebalik pintu dapur tu, ada parit kecil, ada pokok kelapa sawit di belakang. Ha!!! gila ke makcik ni suruh aku kencing kat tepi parit?? mana bilik air dia?? Hatiku berkata-kata. Masa tu, aku rasa bingung sebentar. "Cikgu!! jangan tahan kencing, nanti kena batu karang, takpe, cikgu kencing je, tak ada orang tengok pun." Beberapa kali makcik tu desak aku buang air di situ. Akhirnya, aku kata tidak mengapalah dan aku bergegas ke ruang tamu. Kawan-kawanku bertanya : "dah buang ea, kat mana bilik air dia?". Aku hanya tersenyum simpul dan aku pun berbisik dengan mereka, Apalagi, kawan-kawan ku tersengih-sengih menahan ketawa. Mula-mula aku nak rahsiakan aib orang, tetapi, oleh kerana mereka pun nak buang air, lebih baik aku ceritakan yang sebenarnya. Aku risau jika tuan rumah rasa malu dan tidak selesa, cukuplah aku seorang yang buat hal. hahahaha...
Bila sudah selesai marhaban dan makan, mereka ketawa terbahak-bahak di ruang parking kereta. Memang kurang asam ye korang ketawakan aku. Aku pun sebenarnya nak ketawa terbahak-bahak, tetapi, dalam masa yang sama juga, aku berfikir sejenak, Ya Allah, aku bersyukur dengan nikmatMu, bagaimanalah mereka menjalani kehidupan harian, bagaimana dengan keselesaan mereka, Aku tidak pernah merasai kesusahan yang begitu dhaif begini, apa yang aku hadapi pada hari ini menjadi pengajaran dalam hidupku. Bahawasanya kita perlu bersyukur dengan apa yang ada dan sentiasalah pandang orang di bawah kerana mereka lebih susah dari kita. Aku tidak menyangka, zaman wawasan 2020 masih ada lagi rumah sebegini. Rumahnya tiada tingkap, hanya ada besi dan ditutup dengan langsir sahaja.
Cerita ini, bukan ingin mengaibkan sesiapa, tetapi, aku jadikan pengajaran dan pengalaman dalam hidupku. Aku berdoa agar keluarga muridku ini, mendapat rezeki yang melimpah ruah, keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Aminnnn......
Ulasan
Catat Ulasan